Monday, May 18, 2009




mukmin yang kuat


lebih baik dari mukmin yang lemah




walau keduanya punya kebaikan




kuda yang tempang


di tengah gemuruh genderang perang


bakal menjadi beban


lebih baik dikorbankan




solat dengan berdiri tangguh


pasti lebih baik dari solat dengan duduk




sujud penuh takzim


di hadapan Allah Rabbul Jalil


penuh khusyuk


nikmat dalam berlama-lama




takkan sama


hamba yang sakit


sujud dalam duduk


dahi tidak mencecah lantai




oh sungguh kurindu..


sujud dengan sempurna


Saturday, May 16, 2009

selamat hari guru!

16 May 2009

"school is best today,ummi!''.Itu kata-kata yang pertama keluar dari mulut Tholhah, anak bongsuku sebaik kujemput dari sekolah. Allah...tuhan saja yang tahu betapa bahagia dan berbunganya hatiku mendengar kata-katanya itu.

baru beberapa hari lepas, selepas kumarahi kerana tidak mahu kesekolah, dia berkata...'tholhah nak mati'''. Kudiamkan aja pada mulanya, dia keluar dari bilik dan sebentar kemudian datang lagi...dengan sebilah pisau lipat di tangan!...berderau darahku..pisau lipat abangnya agaknya..aku cuba bertenang dan kupujuk dia perlahan-lahan...kupanggil dia untuk kupeluk dan dengan cepat pisau itu kurampas. astagfirrullah...berkali-kali aku beristighfar....rupa-rupanya anakku betul-betul tertekan dengan keadaan di sekolah.

guru.....aku tidak tahu apa adakah pekerjaan yang lebih mulia dari seorang guru...atau adakah pekerjaan yang lebih beruntung dari menjadi seorang guru...

teringat aku satu caption dari cerita Sang Murabbi..."..tak pengen jadi orang berharte...?" kata sang ibu pada anaknya...jawab si anak...."Eh..ibu, justru guru hartenya banyak...ngasi ilmu terus..."

contoh terbaik seorang guru adalah pada sosok tubuh nabi Muhammad s.a.w.-mendidik dengan penuh kasih dan sayang, penuh kesabaran,...mendidik dengan hati..

ada satu cerita yang sangat menyentuh hatiku. Rasul terlihat ummu Fudahil sedang menggendong anaknya yang kecil, lalu Rasul mengambil bayi itu dan menggendongnya pula. Tiba-tiba bayi kecil itu kencing di baju rasulullah, terkejut dengan kejadian itu, ummu fudail terus merampas bayi itu dengan agak kasar. Rasulullah kelihatan tidak suka dengan kejadian itu dan berkata, ' air kencing di bajuku boleh dengan senang dibersihkan dengan air, tapi perasaan anak yang rosak itu, bagaimanakah kamu nak memulihkannya.."

siapakah dan bagaimanakah memulihkan perasaan anak yang 'dirosakkan' oleh guru?
bagaimana memulihkan perasaan anak yang telah dirosakkan oleh kedua ibubapanya-yang juga adalah guru?

berapa ramaikah guru kini yang mendidik dengan hati..?
berapa ramaikah ibubapa yang mendidik dengan hati?

alhamdulillah, aku bersyukur pada Allah, masih ada juga guru-guru yang mendidik dengan ikhlas, yang mahu mengelus lembut rambut muridnya, yang mahu meletakkan tangannya yang mulia ke atas dada anak muridnya dan mendoakannnya...

'a mediocre teacher tells, a good one explains, a better teacher demonstrates but a superb one inspires........'

Selamat Hari Guru!

Sunday, May 10, 2009

kunjungan sahabat seberang

semalam sewaktu aku masih di dalam bilik air, anakku simujahid menjerit dari luar. ummi! umat indonesia telefon, dia orang nak datang ziarah.....
"ayyid, takkan lah ummat indonesia nak datang jumpa ummi...

'ia ummi, dia kata dia ummat indonesia..'
dalam hati kecilku berkata...agaknya ummahat (kaum ibu) indonesia..

betul seperti kujangka, petangnya, sahabat-sahabat indonesia datang. Ada beberapa keluarga...ada yang merupakan bekas pesakitku, ada yang merupakan guru anak-anakku, ada yang merupakan sahabat-sahabatku.

rupa-rupanya tanpa kusedari, namaku di kalangan expatriate indonesia disini famous jugaklah...biasanya pesakit dari luar memang macam tu. kalau ada sorang yang dah mula ngan kita, semua suku sakatnya nanti akan datang jumpa kita. kalau di klinik, kadang-kadang nampak macam international klinik. ada berbagai rupa dan warna. selalunya yang selalu jumpa aku biasanya orang indonesia, somalia dan iran....

sahabat-sahabat Indonesia kat sini rapat sekali. macam adik beradik. Pernah ada seorang dari mereka kemalangan dan patah kaki dan tangan, sahabat-sahabat lelaki mereka bergilir-gilir menjaga termasuk berjaga malam untuk menemani di ward, kemudian buat collection duit untuk cepatkan pembedahan dan transfer ke hospital swasta.
Inilah yang pernah dikatakan para sahabat......'andai raja-raja mengetahui nikmat yang kita rasakan dalam ukkuwah tentu mereka akan berperang untuk mendapatkannya.....'

mereka datang dengan penuh adab-adab ziarah,tidak terlalu lama dan penuh dengan doa...sempat pula melakukan 'sharing' sedikit bahan yang mereka baru dapatkan dari pengajian mereka...kata mereka...ustaz kata...kalau Allah inginkan kebaikan pada seseorang, Dia akan memberikan kefahaman akan agamanya...selanjutnya ada ulasan lagi di dalam Riadhus solihin...kalau allah inginkan kebaikan pada seseorang, allah akan cepatkan musibah baginya....'

allah...walau cuba kutahan, berderai juga airmataku....
diselang-selangi ucapan 'shafakillah' dan 'tohurr insyallah' kami berpelukan untuk berpisah sementara.

terimakasih sahabat.....terimakasih atas doa-doanya..terimakasih atas tazkirahnya...terimakasih tidak terhingga kerana mengizinkan aku mencicipi sedikit nikmat dari lubuk ukkuwahmu.

Tuesday, May 5, 2009

senandung patah

kakiku patah...

musibah atau kafarah?
amarah Allah atau rahmah?

kalau musibah..
kukata innalillah..

kalau rahmah,
kukata Alhamdulillah..

kedua-duanya aku pasrah

yang kutahu hidupku bertambah berkah
sahabat jauh dan dekat datang berziarah
doa untukku mencurah-curah
terasa sungguh ikatah mahabbah
kasih dan cinta kerana Allah

bibirku pun senang menyebut astaghfirullah
solat sunat 4 rakaat qabla zuhur( tak pernah kubuat) kucuba sudah
tak pernah kumimpi mencuba hafal Al- Baqarah
walau kutahu mungkin tak sudah
mudah-mudahan niatnya pun diterima Allah

solat dalam sakit rupanya indah
terasa penuh nikmah
mudah-mudahan dapat istiqamah

kutahu manusia pelupa memang fitrah
ketika sakit ingat pada Allah
ketika senang mengingat Allah susah
kerana itu memang perlu pada musibah
supaya dosa dapat dikafarah
mudah-mudahan ringan beban di Arafah

memanglah Rabbku Maha Pemurah...

Monday, May 4, 2009

doa-senjata orang mukmin

5 may 2009-kakiku masih berbalut simen. kekadang terasa juga nyerinya. Tapi semalam aku menerima berita gembira yang harganya padaku sepadan dengan sakitnya yang aku tanggung ketika patah kaki dulu.
aku mendapat khabar pesakitku mengandung..alhamdulillah syukur. Maria namanya. Berkahwin sudah lama. dah pernah mencuba bayi tabung uji denganku. Kali pertama gagal. lama juga dia merajuk sebelum mahu mencuba sekali lagi. cubaan kedua juga gagal. akan tetapi alhamdulillah masih ada embrio lebihan yang dibekukan. 2 minggu lepas aku memasukkan semula embrio tersebut ke dalam rahimnya. Aku menyuruhnya tawakkal sepenuhnya pada Allah. jangan diletak harapan sedikit pun pada diriku ini. Menghidupkan satu nyawa memang bukan kerjaku. Aku hanya mengusahakan jalan.

sebenarnya banyak juga faktor2 negatif kali ini. Pertamanya memasukkan embrio yang sudah disejukbekukan memang kejayaannya kurang dibanding memasukkan embrio yang 'fresh'. Yang kedua walau tidak kuberitahu pada Maria, kata embriologist yang menjaga embrio, kelihatan tiada perkembangan embrio selama ia disimpan. Adalah lebih positif sekiranya embrio berkembang. yang ketiga sewaktu memasukkan 3 embrio ke dalam rahimnya, satu terkeluar semula dan terpaksa dimasukkan lagi.

segalanya kelihatan sukar sekali. Namun aku menyemangati Maria dan kuminta dia terus berdoa, bersedekah dan bertaubat.Aku pernah mendengar sekiranya seorang hamba bertaubat Allah akan turunkan hujan dari langit, menambah anak-anak dan binatang ternakan untuknya...

aku sendiri berdoa untuknya...setiap kali hujan turun...

dan Alhamdulillah, Allah Maha Mengabulkan doa hamba-hambanya....

Friday, May 1, 2009

sadaqah berganda 10

1 mei 2009
hari ini genap seminggu kemalangan yang menimpa diriku. Ramai teman-teman yang datang melawat.Cukup ramai. kedatangan mereka membahagiakan aku. Memanglah Islam sangat menggalakkan untuk menziarahi orang yang sakit. Patutlah biasanya pesakit di wad pun selalu tertunggu-tunggu dan gembira bila doktor datang melawat.

Ada sebuah buku yang kadang-kadang kuberi kepada beberapa orang pesakit yang datang. Tajuknya 'sedekah menyembuhkan penyakit'. Di dalamnya terkandung anjuran dari Rasulullah untuk bersedekah ketika sakit dan meniatkan untuk kesembuhan. Di dalam buku tersebut juga ada disertakan pengalaman-pengalaman peribadi mereka-mereka yang pernah bersedekah dan sembuh dari penyakit yang dihadapi.

Sebaik sahaja mendapat kemalangan, aku memang sudah berniat untuk bersedekah. Aku meminta pembantu peribadiku untuk mengeluarkan wang dan memberi kepada sesiapa yang susah termasuk seorang cleaner yang kelihatan agak susah pada pandanganku.

Pada hari yang sama, aku diziarahi seorang teman dan dia memberi sedekah kepadaku. Tergamam juga aku, lama sangat rasanya aku tidak menerima sedekah, dan aku memang tak layak pun. Anyways, aku berterima kasih banyak pada temanku yang bersungguh-sungguh menyuruh aku menerimanya. terimakasih sahabat.

petangnya, pembantuku berkata dia telah memberi sejumlah wang kepada salah seorang cleaner tempat aku bekerja. Katanya terharu sangat tengok makcik tu bergenang airmata, tambahan pula dia sedang puasa sunat Khamis. Aku bertanya berapa yang disedekahkan. Katanya RM 100. Aku terdiam.Aku menceritakan kepadanya sedekah yang kuterima hari ini dan aku suruh dia meneka berapa dia fikir jumlah yang aku terima dari sedekahku...jawabnya...?RM1000.?. aku tersenyum, tepat sekali. Aku telah menerima wang RM1000 pada hari sama aku bersedekah RM 100. Subhanallah...

Thursday, April 30, 2009

sakitnya patah kaki

24 april-sepatutnya hari yang cukup indah. setelah sekian lama terperap di klinik, hari ini aku akan mula mengikuti kursus bertaraf internasional dalam bidang yang aku minati iaitu infertiliti. kursus diadakan di klcc, berlangsung dengan cukup baik.Banyak info-info baru yang aku perolehi,alhamdulillah. Kandungan kursus cukup padat, tak ada masa terluang. Aku menjeling jam, kebiasaannya aku solat dhuha 2 rakaat pada waktu ini. Hhmmm...tak apalah, hari ni tak dhuha, bisikku dalam hati dengan sedikit rasa bersalah.

Kemuncak program hari itu adalah lawatan ke hospital enam bintang-Hospital Prince Court di Ampang. kami akan dibawa menyaksikan 'live' pembedahan menggunakan robotik di sana.Memang hebat, manusia dan robot bersatu untuk memberikan yang terbaik untuk pesakit. Tapi sebenarnya aku taklah teringin sangat melihat pembedahan itu, yang selebihnya aku sebenarnya ingin mencengah hospital tersohor itu...betul ke cantik sangat?

Jam 5.00 petang-aku belum asar lagi, tapi bas yang nak membawa kami ke Prince Court dah sampai.Sempat juga hatiku berkata-kata seke jap.....belum asar lagi nih...... "sampai je nanti kita cari tempat solat ye..." aku berkata kepada temanku, Ijan, yang ikut serta.

Perjalanan tidak mengambil masa terlalu lama kerana KLCC dan Prince Court dekat rupanya.Aku memanjangkan tengkok...ooo..ini rupanya Prince-Court. Kelihatan beberapa orang staff sudah berbaris menanti kami. Beberapa orang participant di hadapanku telah turun...kemudian aku pun turun....dan takdir pun berlaku seperti yang telah disusun olehNya. Sewaktu turun, tiba-tiba kaki kananku terpelecok dan seluruh beratku menghempap ke atas kakiku..... aduh..aku menjerit kecil..beberapa orang temanku berlari mendapatkanku..kuselak sedikit kakiku..dan terlihat dengan jelas kakiku berada dalam kedudukan yang pelik. Tak perlu menjadi doktor untuk tahu kakiku memang telah patah.

siapa yang pernah patah tentu akan tahu betapa sakitnya patah kaki....aku beristighfar berkali-kali...terasa kesalahan-kesalahanku sebelum ini berputar-putar di depan mataku...seperti tayangan filem. Itulah perkara pertama yang teringat di benakku. Dosa-dosaku.....ya Allah, ampunilah ya Allah...Ampunilah.....

Teringat juga aku satu artikel yang pernah kubaca dalam majalah Tarbawi terbitan dari seberang, Rasul mengatakan, jika kita ditimpa musibah, katakanlah innalillahi wa inna ilaihirajiun dan mohonlah ganti yang lebih baik.
Dalam keperitan menahan sakit, aku merintih kecil dan menyebut innalillah.....dan gantikanlah kesakitanku ini dengan yang lebih baik, ya Allah..

Ketika kita sedang menanggung sakit, masa terasa berjalan begitu lambat sekali...semuanya kurasakan begitu lambat sekali...X ray lambat dibuat, penahan sakit lambat diberi, doktor lambat datang......Aku tersedar sendiri, kadang-kadang aku pun lambat menjengok pesakit. Aku berjanji pada diriku sendiri akan lebih prihatin selepas ini. Sehebat apa pun bangunan sebuah hospital, pekerja-pekerjanyalah yang akan memberikan hospital itu nilainya, 4,5 atau 6 bintang. Buat masa ini, rating aku untuk Prince-Court adalah 3 bintang sahaja-sorry!

Akhirnya aku solat asar di atas trolley pesakit-aku bertayammum dengan blanket hospital dan meminta nurse mengalih trolleyku menghadap kiblat.Dengan penuh sendu, aku meminta kehadrat Illahi-tak putus-putus aku memohon ampun...Ampunkanlah aku.ya Allah..ampunkan aku...